Pagi itu cerahnya seperti selalu, cerah
sehingga melihatkan kehijauan daunan dan kicauan burung yang entah berkicau membicarakan
sesuatu kepada alam seperti hari-hari sebelumnya. Seperti kemalasan yang memang
tertanam di dalam diri Kila yang tak dapat diubah, seperti sebelumnya berat
rasanya untuk membuka mata malah makin ditarik selimut tebal itu sehingga
menutupi matanya agar tidak silau dengan cahaya lampu yang dihidupkan oleh
ibunya sebentar tadi. Kila masih lagi
mahu menyambung mimpi indahnya sibuk melayani kemanisan mimpi, menyambung
cerita fantasi yang tiada penghujungnya. Sayup-sayup kedengaran alunan merdu
zikir “Subhanallah Walhamdullillah” berkumandang di ruang tamu. Ibu Kila memang
begitu, pagi-pagi lagi dipasangnya siaran astro Oasis yang memang menyiarkan
alunan alunan zikir memuji kebesaran Allah SWT, buka pintu rezeki lebih-lebih
lagi hari itu merupakan hari penghulu segala hari. “Kila bangun, mandi solat, dah
nak pukul tujuh ni nanti lambat nak ke sekolah tu”. Kila yang terdengar ibunya
mengatakan waktu hampir masuk pukul tujuh pagi dengan pantas mengambil tuala
dan segera menuju ke bilik mandi. Kila bukannya takut terlepas waktu solat
subuh tapi lebih ditakutnya terlambat ke sekolah, lebih-lebih lagi dia seorang
pengawas ketika itu. Lantas dengan keadaan separuh sedar Kila mandi dengan
cepat, tidak dibasahkan rambutnya yang panjang kerana takut rambut itu nanti
lambat kering maka nanti dia terpaksa memakai tudung dengan keadaan rambut yang
lembap. Kila segera bersiap dan turun ke meja makan untuk menjamu sarapan yang
disediakan oleh ibunya.
“Kila tak nak duduk kat rumah ja kah hari ni?Ada yang
penting ke kat sekolah, kalau takda lebih baik duduk rumah teman ibu”. Kata ibu
Kila dengan tiba-tiba, Kila merasa pelik dengan soalan ibunya namun dia tahu
ibunya sengaja menggunakan alasan peneman agar dia duduk di rumah namun dia
terpaksa juga kesekolah kerana peperiksaan STPM penggal kedua makin hampir. “Ala
ibu tak payah lah risau, banyak askar dan
abang polis yang jaga kat sekitar sekolah tu, lagipun tempat tu jauh
kan. InshaAllah takda apa dah tiga hari dah pun ” kata Kila. Ibunya hanya berdiam
diri, mungkin disebabkan pencerobohon yang berlaku tiga hari lepas menyebabkan
ibunya berkata sedemikian. Ialah kerana jarang sekali ibunya menyuruh Kila
untuk tinggal di rumah malah kalau boleh ibunya lebih gemar kalau Kila setiap
hari pergi kesekolah. Namun disebabkan kedatangan anggota militan itu ke bumi
Lahad Datu telah mula merisaukan ibunya, cuma yang peliknya hari ini ibu Kila
menyuruhnya untuk tidak kesekolah. Kenapa bukan dari semalam lagi dan hari
sebelumnya. Belum sempat Kila bertanya tiba-tiba terdengar bunyi hon kereta
dari hadapan rumahnya. “Ok lah bu, Kila gerak dulu. Ayah dah sampai tu”. Kila
segera menggalas begnya dan kemudiannya menyalam ibunya sebelum berlari anak
menuju ke kereta ayahnya.
Sepanjang perjalanan kesekolah, ayah Kila
hanya berdiam seolah-olah memikirkan sesuatu namun takut untuk diluahkan apa
yang dirisaukan. Mungkin tahu akan jawapan yang bakal diberikan sama sahaja
seperti apa yang dijawab kepada ibunya sebentar tadi. “Esok ayah cuti?” kata
Kila berusaha memecahkan kesunyian. “Rasanya tak,ayah kena jaga tempat kerja
ayah tu. Takut-takut nanti datang penceroboh tu”. Kila terdiam, perasaan risau
mula terpancar di riak wajahnya. Ayahnya merupakan seorang penyelia operator
yang bekerja di pelabuhan, namun ayahnya juga bertugas sebagai seorang askar
wataniah yang bertanggungjawab menjaga tempat kerja mereka. “Jangan risaulah,
takda apa tu. Tempat tu kan jauh, Inshaallah takda apa” Kata ayah seolah-olah
ingin menyindir Kila untuk tidak risau sepertimana ibu dan ayah risaukannya.
Kila terus mengalihkan mukanya memandang ke luar tingkap kereta, dilihatnya
banyak abang-abang pakcik pakcik askar telah berkumpul di dewan serbaguna itu
dan tiba tiba perhatiannya dialihkan dengan trak-trak hitam yang dipenuhi
dengan pelajar sekolah di dalamnya. Suka Kila melihat trak yang membawa
anak-anak polis ini, pasti ada sahaja karenah yang dapat dia lihat melalui
tingkap hadapan kereta ayahnya. Pelajar-pelajar dalam trak itu mungkin telah
biasa dengan Kila akan melambai-lambai kearah Kila dan apabila hampir tiba ke
sekolah Kila budak-budak itu nanti akan menjerit “Bye..bye..” dengan kuat dan Kila hanya tersenyum melihat gelagat
mereka.
“Suka betul Kila layan budak-budak tu, hari ni ayah ambil
lepas solat Jumaat. Kila tunggu tempat biasa ya.” Kata ayahnya. Kila hanya
menggangguk dan segera menyalam ayahnya. Tiba di kelas, kelihatan rakan
sekelasnya sibuk membincangkan kes pencerobohan itu, baru kali ini kelas itu
dihujani dengan falsafah-falsafah politik setiap dari mereka. Banyak yang
mengeluarkan fakta-fakta sejarah, menjelaskan kedudukan Sabah itu. Hampir
mengalahkan guru Sejarah dilihatnya kawan-kawannya. Kila terus duduk, tidak
ingin rasanya untuk masuk campur dalam perbincangan mereka. Mereka hanya diam
apabila ada cikgu mula masuk.
Pembelajaran dimulakan seperti biasa,
sehinggalah waktu akhir cikgu Rashid masuk. Namun kali ini cikgu Rashid
kelihatan gelisah, banyak panggilan telefon yang diterima . Kami sekelas hanya
memerhatikan gelagat cikgu Rashid, sehinggalah ada kelibat orang tua di luar
kelas yang meminta izin untuk membawa anaknya pulang terlebih dahulu. Cikgu Rashid
dengan serta merta memberikan keizinan, dan kelihatan Miza budak kelas sebelah
bersebelahan dengan orang tua itu sambil menggalas beg. Kila dan rakannya yang
lain mula tertanya-tanya mengenai apa yang berlaku, Miza merupakan anak Polis
Gerakan Am. Tindakan ayahnya mengambilnya di tentu sahaja mengundang seribu
pertanyaan. Akhirnya Cikgu Rashid mengarahkan kami semua untuk pulang lebih
awal dan memberi pesan untuk terus ke rumah.Kila dan rakan-rakannya yang lain
segera mengemas buku dan keluar ke kelas. Kelihatan banyak kereta, bas sekolah
dan para ibu bapa yang menunggu di luar
pagar sekolah. Kila juga melihat kelibat kereta ayahnya di luar sekolah,
segak memakai baju Melayu sambil melambai-lambai kearah Kila.Kila segera
berlari mendapatkan ayahnya. “Ayah hantar Kila balik dulu ya, nanti lepas solat
Jumaat ayah kena ke tempat kerja ayah dulu dan jangan lupa pesan kat ibu ayah
tak balik malam ni ” kata ayahnya. Ingin sahaja Kila bertanya kenapa ramai ibu
bapa yang datang dan kenapa ayahnya kelihatan terburu-buru namun ditahan
mulutnya, sekadar menggangguk tanda memahami kata ayahnya lantas segera Kila
masuk ke dalam kereta.
Sewaktu dalam perjalan, Kila merasakan jalan semakin sesak, bunyi-bunyi siren kereta
polis dan ambulans boleh didengarinya dari jauh. Trak-trak lori yang membawa
budak-budak sekolah itupun tidak tahu berapa banyak yang dilihat Kila berulang
alik. Kila mula berdebar-debar, tidak pernah dilihatnya keadaan sedemikian
rupa. Dalam fikirannya cuma terlintas satu perkara, “pencoroboh tu datang ke
mari kah? Ya Allah ya tuhanku kau selamatkanlah bumi Lahad Datu ini” kata Kila
di dalam hati. Setibanya Kila di rumah, terus sahaja Kila naik kerumah untuk
mencapai komputer riba, mahu betul dia mengetahui apa sebenarnya yang berlaku
pada hari itu. Dihidupkannya komputer ribanya dan terus membuka laman facebook kerana beranggapan tentu sahaja
laman itu mampu memberikan gambaran apa yang sebenarnya yang berlaku. Tepat
sekali jangkaan Kila apabila di suapan berita Kila penuh dengan ucapan ucapan
sedih dan takziah tak kurang juga yang melahirkan perasaan benci terhadap
anggota Militan itu. Rupanya-rupanya, hari itu telah berlakunya satu
pertempuran yang telah menggorbankan nyawa dua anggota komando polis VAT 69,
Inspektor Zulkifli Mamat dan Koperal Sabaruddin Daud termasuk nyawa 12 anggota
pengganas. Kila hanya terdiam, tubuhnya terlalu penat untuk berfikir apa yang
baru terjadi, kepenatannya itu akhirnya menyebabkan dia terlena.
Tok..Tok, kedengaran pintu bilik Kila diketuk “Kila
bangun, maghrib dah ni” suara ibu Kila cuba mengejutkan Kial. Kila terkejut dan
lebih terkejut lagi apabila melihat waktu telah menunjukkan pukul 7.30 malam. Kila
segera membuka pintu dan dilihatnya ibunya sibuk memasak menyiapkan makan
malam. Siap mandi dan makan Kila duduk tercegat di hadapan televisyen, kalau
sebelum ini Kila akan terus ke atas untuk mengulang kaji pelajaran namun malam
itu dia ingin menonton Berita pukul 8 semata-mata untuk melihat dan mendengar
sendiri kejadian itu dengan lebih lanjut.
Kila khusyuk mendengar apa yang diperkatakan oleh
pemberita-pemberita itu, tidak beralih sedikitpun Kila dihadapan tv kali ini.
Selesai sahaja berita yang menyentuh mengenai Lahad Datu, terus sahaja Kila
naik kebilik dengan harapan pihak yang bertanggungjawab segera bertindak
memperbetulkan keadaan sebelum keadaan menjadi teruk bukan sekadar memberi
ucapan takziah kepada keluarga si mati, usai sahaja Kila menyiapkan kerja
sekolah dia terus tidur.
“Gempar..!! Satu lagi pembunuhan yang baru sahaja
dilaporkan berlaku di Kampung Simunul Semporna, enam lagi anggota polis telah
gugur dalam serangan hendap yang berlaku 8.00 malam tadi yang turut membunuh
enam lagi anggota pengganas”.
Begitulah apa yang diucapkan oleh pembaca berita itu
tadi, Kila tersentak dengan apa yang baru terjadi. Sedangkan baru semalam
kejadian yang mengorbankan nyawa ini berlaku namun nampaknya kejadian ini turut
berlaku di daerah Semporna. Namun kali ini pembunuhan yang berlaku amat
menyayat hati Kila, anggota-anggota polis ini dikhabarkan telah diseksa
terlebih dahulu sehingga ada yang dippenggal kepalanya dan bangsat-bangsat ini
telah merakam kejadian dahsyat itu sebelum dimuat naik ke media massa. Air mata
Kila mula mengalir, tersentuh hati Kila melihat rengekan dan tangisan anak-anak
pejuang yang terkorban itu yang menangis memanggil ayah mereka. Si Ibu hanya
mampu menutup muka, mungkin tidak sanggup untuk mengatakan bahawa ayah mereka
telah tiada.Tiada kerana mati mempertahankan Negara.
Kila sama sekali tidak menyangka perkara buruk ini akan
berlaku dengan begitu cepat, beribu persoalan bermain diminda anak muda itu.”Siapa
yang harus dipersalahkan?”, “Mengapa kejam sungguh bangsat-bangsat itu?”. Serabut
kepala Kila memikirkannya, makin difikirnya makin sakit hati dia rasakan.Kila
kemudian seperti hari semalam tidur tapi kali ini tidurnya terganggu memikirkan
apa yang akan berlaku esok hari.
Keesokannya sekolah dibuka seperti biasa,
namun hanya segelintir pelajar yang datang pada pagi itu. Mungkin masih
berkurung dirumah disebabkan tahu keadaan masih belum stabil, dan kebanyakan
pelajar tingkatan enam dan lima sahaja yang datang kerana risau memikirkan
peperiksaan SPM dan STPM yang akan mereka tempuhi. Maka seperti biasa juga
setiap pagi Isnin akan berlangsung perhimpunan di perkarangan sekolah cuma yang
berbezanya hari itu kami semua diarahkan terus duduk dan tiada pengawas yang
mengetuai perhimpunan hanya cikgu Hanif selaku cikgu disiplin memberikan
ucapannya.
Cikgu Hanif mula dengan ucapannya, mukanya agak serius
sesuai dengan misai seperti pelakon Gerak Khas kegemaran Kila yang entah dari
abad berapa masih setia dibawah pengaruh Dato Yusof Haslam, maka ucapannya pun dimulakan dengan
batuk kecil menandakan ada perkara penting yang ingin disampaikan.
“Seperti yang kamu tahu disebabkan perkara yang berlaku baru-baru ini,
jadi cikgu minta kamu semua berhati hati walau dimana pun kamu berada. Pastikan
kamu semua balik kerumah selepas selesai waktu pembelajaran dan jangan merayau
katanya sedikit tegas dengan tiba-tiba menyebabkan pelajar lelaki di barisan
belakang terdiam sekaligus menghentikan perbualan mereka. Ketika keadaan mula
senyap lantas Cikgu Haniff meneruskan lagi ucapannya.
“Cikgu harap kamu tidak pandang enteng masalah ini, bukan
senang Lahad Datu ni nak jadi carian utama goggle” katanya berseloroh sambil
memegang hujung misainya.
Suasana yang tadinya senyap berderai dengan sindiran
cikgu disiplin tadi sambil ada yang menyorak hidup Lahad Datu. Ya, memang agak
sukar untuk melihat Lahad Datu akhirnya muncul di dada dada akhbar keluar di
corong-corong radio dan disebut-sebut oleh wartawan Utama tv 3 dengan kerap,
paling pun terselit di bahagian bawah televisyen yang kelihatan seperti sari kata
yang lajunya seperti mahu menguji kepantasan mata penontonnya. Namun disebabkan
peristiwa 11 Februari 2013 itu, penduduk luar Sabah kini mula mengenal apa itu
Lahad Datu, mula menyelidik apa yang istimewa sangat daerah Lahad Datu sehingga
datang segerombolan askar menyuarakan Lahad Datu tanah mereka hak milik mereka
warisan mereka.Kila hanya terdiam di belakang baris sehingga disuruh kembali
pulang ke kelas. Kila masih memikirkan apa yang dikatakan oleh cikgu disiplin
sebentar tadi, baginya apa yang dikatakan oleh gurunya sebelum mengakhiri
perhimpunan amat dalam maksudnya.
“Peristiwa ni mungkin amaran dari Allah SWT ada perkara
yang kita buat sebab berlakunya perkara malang ini. Allah nak sedarkan kita,
jangan leka perkara ni bukan boleh bawa main. Teruskan berdoa agar tanah
kelahiran kita masih tetap tanah kita dengan sedikit senyuman terukir di
bibirnya yang Kila rasakan hanyalah untuk menutup kebimbangan di hatinya agar
tak terlihat oleh murid-murid yang mendongak sakit melihat dan mendengar ucapan
cikgu-cikgu pada hari itu.
Selesai sahaja perhimpunan, mereka beratur
dan kembali kelas. Kila yang kalau sebelum ini tak ingin masuk campur dengan perbualan
penceroboh ini, kini mula terjebak untuk mengetahui apa yang diketahui oleh
kawan sekelasnya yang lain. “Eh Kila..!kau
tak kenal ke siapa yang datang ke tempat kita tu, sama bangsa dengan kau tu
Kila. Entah-entah kau puteri ketua penceroboh tu kan? Boleh tak suruh mereka
berambus dari sini? Hahaha..” kata Wan seong pelajar lelaki yang memang
terkenal dengan sikapnya yang suka mengusik. Tersirap darah Kila apabila
mendengar apa yang baru sahaja diucapkan oleh kawannya. Kila tahu Wan hanya
bergurau, namun baginya ia satu perkara yang amat sensitif kerana melibatkan
bangsa, mau saja dia bangun dan terus beredar namun ditahan api kemarahan
semata-mata ingin menjaga hati kawan-kawannya. “Kenapa nak salahkan kami kerana tahi yang
dibawa oleh orang lain, kenapa nak samakan kami dengan tahi yang entah masuk
dari mana? Ishh yang Kiram ni pun satu, dah kenapa nak serang kat sini ? Apa
sangat yang ada kat sini, nak kata Lahad Datu ni maju rasanya lagi maju
perusahan air tebu jiran depan rumah aku. Nama ja terkenal dengan kelapa sawit,
namun segala hasil kelapa sawit tu bukannya orang sini yang telan tapi dibawa
ketempat lain untuk mereka hadam segala hasil-hasilnya.”Berbagai persoalan
timbul di dalam fikiran Kila, perasaan marah mulai menguasai Kila, Kila marah
dengan kehadiran bangsat-bangsat itu, Kila marah dengan ejekan kawan-kawannya,
Kila marah kerana dia dilahirkan sebangsa dengan bangsat-bangsat itu. Baginya
disebabkan dia sebangsa dengan bangsat itu, dia terpaksa menelan semua tomahan
yang dilontarkan oleh orang sekelilingnya. Apa salahnya jika sebangsa dengan
penjahat-penjahat itu, bukankah kami yang sebangsa ini juga lahir di daerah ini
berbanding mereka yang masuk secara berbahaya. Tidakkah mereka dapat bezakan
kami dengan mereka, butakah mereka sehingga sanggup menuduh kami sebagai darah
pengganas.
Waktu di dinding jelas menunjukkan waktu
tepat 12.45 menandakan waktu tamatnya sesi pembelajaran. Kila dengan segera
berdiri dan meninggalkan kelas, dia tidak ingin duduk lama di dalam kelas
kerana hatinya tidak tahan mendengar kawan sekelasnya berbincang mengenai
kejadian pencerobohan tersebut. Bagi Kila dia tidak kisah jika kawan-kawannya
sekadar membicarakan pencerobohan itu, namun bila dia digelar sebagai “Puteri Sulu”
dia merasakan seolah-olah berbeza dari seorang rakyat asli negeri Sabah. Kila
segera keluar dari pintu sekolah, apabila dilihat ayahnya tiada terus sahaja
dia ke pondok bas, sanggup dia menaiki bas tambang daripada menunggu ayahnya
kerana takut terpaksa berjumpa dengan kawan-kawannya lagi. “Puteri Sulu naik
bas ni nak ke mana?haha” tiba –tiba satu suara yang dikenali menerpanya. Kila
tahu itu suara Wan, Kila tahu dia hanya bergurau tapi kali ini Kila tak dapat
menahan marahnya dirasakan Wan bersikap kurang ajar kerana memanggilnya dengan
gelaran tersebut di depan khalayak sehingga ada yang mentertawakannya.
“Wan..! Kau jaga sikit mulut kau tu ya. Aku bukan Sulu, keturununanku
adalah Suluk. Sulu tu yang baru semalam bunuh anggota polis tu. Kau nak aku
bunuh kau juga ke”? kata Kila menengking Wan. Wan yang tidak mahu kalah makin
membalas kata-kata Kila “Memang darah-darah Sulu ni suka bunuh orang kan?”
Tanpa berfikir panjang, Kila telah menolak Wan dengan
kuat ke belakang sehingga mungkin Kila
tidak perasan bahawa adanya curam di belakang Wan yang akhirnya membuatkan Wan
hilang stabil dan jatuh terguling sebelum kepalanya terkena batu. Habis merah
baju Wan dilumuri dengan darah, Kila tercengang melihat kejadian yang berlaku
dihadapannya. Bukan niat Kila untuk menolaknya hingga jatuh, namun apa yang Wan
katakan itu yang menyebabkannya hilang pertimbangan. Berpusu-pusu pelajar yang
lain turun ke tempat kejadian untuk melihat keadaan Wan.Kila kemudian dengan
segala keberanian yang dia ada turun pergi ke tempat kejadian, alangkah
terkejutnya Kila apabila Wan langsung tidak bergerak dan pelajar yang lain
hanya memandang Kila seolah-olah menyalahkan Kila. Kila hanya mampu membiarkan
pandangan itu, “Aku bukan pembunuh, mereka yang pembunuh, aku tak maksud nak
bunuh kau Wan. Mereka tu yang kena keluar mereka yang racun fikiran kita.
Keluar!Keluar! Keluar! ,” Kila mula meracau seperti kerasukan.
Tiba-tiba bunyi das tembakan mula
kedengaran,bertempiaran pelajar-pelajar lari menyelamatkan diri. Kila melihat
kelibat seorang lelaki yang disangkanya penduduk tempatan namun rupanya adalah
salah seorang anggota militan itu.
Anggota itu cuba bercakapa dengan Kila namun hanya sedikit yang difahami
oleh Kila kerana dia pernah mendengar bahasa itu digunakan dirumahnya. Namun
untuk menjawab kembali pertanyaan anggota militan itu tidak pandai untuk Kila
mengatur bahasanya. Anggota yang bertanya itu semakin lama dilihat semakin
marah kerana Kila tidak menjawab sepatah pun sehinggakan dia mengacukan
senapangnya agar Kila menjawab apa yang telah dikatakannya sebentar tadi dan
akhirnya Kila terdengar kembali bunyi das tembakan. Kila hanya berteriak kerana
menyangka das itu ditujukan kepadanya, dalam fikiran Kila mungkin ini balasan
kerana telah menolak kawannya sebentar tadi, mungkin ini balasannya, sepatutnya
dia hanya bersabar dengan apa yang dikatakan oleh kawannya itu dan tidak
menyalahkan penceroboh itu yang telah meracun fikirannya untuk berbuat
kejahatan walhal itu adalah tindakannya sendiri. Namun semuanya terlambat, nasi
sudah menjadi bubur Kila rebah ke tanah seperti pejuang yang jatuh ke tanah
cuma bezanya mereka jatuh dengan bermaruah tapi Kila jatuh dengan membawa
seribu penyesalan.
Sewaktu rebah itu sekali lagi Kila mendengar das tembakan
yang kali ini amat kuat bunyinya dengan jerita seakan suara Wan memanggil
namanya. “Kila, bangun Kila bangun”. Kila berpaling dan melihat jelas susuk
tubuh Wan yang cuba menggoncangkan tubuhnya dengan kuat, tersentak dengan
goncangan yang kuat dan kelibat Wan yang disangkanya mati sebentar tadi Kila
kemudian tersedar dan bilamana ia tersedar memang Kila akhirnya sedar dari
mimpinya sebentar tadi. Terkebil-kebil Kila melihat cikgu Rashid dan kawannya
berada di hadapan mereka,
“Aku kat mana?” kata Kila. “Puteri ada kat Istana ni haa,
tadi puteri tengah beradu maaf membangunkan tuan puteri” kata Wan membalas
pertanyaan Kila. Bergema kelas dengan gurauan Wan sebentar tadi, Kila yang kini
sedar sepenuhnya barulah mengerti apa yang dikatakan oleh Wan sebentar tadi
yang ternyata kejadian tadi hanya mimpi semata-mata dan kalau dalam mimpinya
pasti Kila akan memarahi Kila namun kali ini dibiarkan Wan berbuat sedemikian
kerana kini dia sedar bahawa kawannya itu tidak bermaksud dengan apa yang
dikatakannya. Sehingga pulang itu Kila terus digelar Puteri oleh Wan,yang
peliknya Wan hanya menggelar Kila puteri dan bukan Puteri Sulu entah-entah Wan
tahu apa mimpi Kila sebentar tadi. Kila hanya tersenyum dan tidak sabar untuk
pulang kerumah dan menceritakan peristiwa itu kepada kedua orang tuanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan