Selasa, 5 April 2016

SIAPA BLOGGER TU? =_=





Nor Azzera Idzian Binti Abdul Wahab

19.01.1994

Hospital Lama Lahad Datu Sabah

Islam

Anak kedua dari 6 orang adik beradik

Sekolah Tadika Kemas Lahad Datu  (1999-2000)

Sekolah Rendah Kebangsaan St. Dominic Lahad Datu (2001-2006)

Sekolah Menengah Kebangsaan St.Dominic (2007-2009)

Sekolah Menengah Teknik Lahad Datu (2010-2011)

Sekolah Menengah Kebangsaan Sepagaya (2012-2013 )

Universiti Sains Malaysia (2014- Sekarang )

Isnin, 4 April 2016

BIOGRAFI PENULIS PILIHAN






Assalammualaikum w.b.t dan salam sejahtera kepada pembaca yang dikasihi sekalian dan diharapkan dalam rahmat Allah s.w.t hendaknya. Kalau jika sebelum ini pengkaji mencoretkan hasil nukilan puisi , maka kali ini pengkaji akan mencoretkan serba sedikit latar belakang serta pemikiran seorang penulis yang tidak asing lagi kewujudannya dalam dunia kesusasteraan di Malaysia. Azizi Hj Abdullah merupakan penulis yang dilahirkan di Bukit Meryam, Kota Kuala Muda, Kedah pada 4 April 1942. Beliau merupakan seorang pengarang profilik dalam penulisan cerpen dan novel. Sewaktu kerjaya beliau sebagai seorang penulis, beliau pernah menggunakan pelbagai nama pena atau samaran seperti Anita, Ibnu Abdullah al-Haj, Jamong, Qalam Adly, Shahrulmanjarishah, Susulawati dan Tukya dalam penulisannya namun lebih dikenali dengan nama sebenarnya.
Azizi Haji Abdullah menerima pendidikan awal di Sekolah Melayu Bukit Meryam hingga lulus darjah enam. Kemudian, beliau belajar di Madrasah Dairatul Maarif al-Wataniah, Kepala Batas, Seberang Perai mulai dari tahun 1955 hingga 1965. Walaupun jarak madrasah dengan rumahnya kira-kira 30 kilometer, namun itu tidak menghalang minat Azizi untuk belajar di sana sekalipun terpaksa mengayuh basikal sejauh 60 kilometer setiap hari. Pendidikan agama yang diterimanya melayakkan Azizi menjadi guru agama di Sekolah Kebangsaan Sungai Taka, Serdang, Kedah mulai 17 Oktober 1965 sehinggalah beliau bersara pada tahun 1997. Azizi mulai menulis pada tahun 1960-an, cerpennya yang pertama berjudul “Sisa” tersiar dalam Warta Mingguan pada tahun 1963 dan sejak itu beliau tidak menoleh ke belakang lagi dalam bidang penulisan, malah turut aktif menulis novel, kritikan sastera, skrip drama radio dan TV, dan rencana.  
Lantas sebagai seorang novelis, Azizi mulai terkenal setelah novelnya Senja Belum Berakhir memenangi Hadiah Karya Sastera pada tahun 1971 yang kemudiannya menyaksikan beliau seringkali memenangi hadiah tersebut dalam bahagian cerpen pula.  Tetapi kemuncak kepada pencapaiannya dalam bidang penulisan novel boleh dikatakan terpancar melalui novel Seorang Tua di Kaki Gunung (selepas ini ditulis sebagai ST dKG) pada tahun 1982.Novel terakhir karya beliau adalah novel setebal 299 muka bertajuk 'MANDALA DUNIA KE DUNIA' yang sempat ditulis sebelum beliau menghembuskan nafas terakhir ketika berusia 69 tahun pada tanggal 21 Ogos 2011 akibat serangan jantung di Hospital Pulau Pinang. Allahyarham telah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Jamiul Makmur di Kulim.

Sumber Rujukan:

Azizi Haji Abdullah, (1984). Seorang Tua di Kaki Gunung Tua. Kuala  
      Lumpur
Dewan Bahasa dan Pustaka.

Mohd Thani Ahmad, Sarah Sadon, Suhaimi Haji Muhammad, (1984).                  Wajah. Kuala Lumpur Dewan Bahasa dan Pustaka.

SINOPSIS SEORANG TUA DI KAKI GUNUNG



Novel Seorang Tua di Kaki Gunung mengisahkan persoalan jurang generasi antara golongan tua yang mempunyai sikap yang keras dalam mempertahankan pendiriannya iaitu pendirian tradisinya dan cuba dipertahankan hingga ke akhir hayatnya namun ternyata sukar kerana bertentangan dengan golongan muda yang mempunyai pendirian moden yang sukar pulanya diterima oleh golongan tua.. Melalui watak Tukya, Azizi cuba memperlihatkan sikap golongan tua yang teguh mempertahankan pendiriannya terhadap corak kehidupan tradisi, yang amat rapat dengan alam semula jadi di kaki Gunung Bongsu.
Konflik mulai timbul apabila Fikri Fatimah Farid  mulai mencaci kehidupan dan rumah Tukya di Gunung Bongsu itu. Bagi Tukya Fikri telah lupa akan asal usulnya menyebabkan dia berasa sedih kerana kehidupannya yang miskin membuatkan anak serta cucunya tidak minat untuk balik berkunjung ke Gunung Bongsu itu. Walaubagaimanapun berbeza dengan Leman, cucunya yang seorang ini dilihat lebih rapat dengan Tukya kerana dia merasakan bahawa Lamin mememiliki jiwa seperti Tukya yang gemar dengan kehidupan di Gunung .Namun malang tidak berbau apabila, Tukya yang membawa Lamin mencari manisan di kawasan Gunung Bongsu  telah disengat lebah manakala Lamin sempat melarikan diri. Habis seluruh badan Tukya disengat dengan lebah hingga bengkak. Semasa di hospital, Tukya lebih merasakan malu bila dikatakan dirinya telah tua kerana hakikat itu sukar diterima oleh Tukya, tambahan Fatimah dan Farid yang sering menyindir serta menghina kehidupan Gunung Bongsu dan keadaan rumahnya yang buruk. Maka dengan itu, bagi membuktikan kepada anak cucunya Tukya dengan nekad ingin membina sebuah rumah baru dengan sendirinya bagi mengganti rumah buruk yang sering mendapat cacian anak cucunya. Walaubagaimanapun sekali lagi malang tidak berbau, dengan perasaan yang amat sedih Tukya tetap ingin menebang cengal batu itu, lantas ketika hendak tersembam cengal batu itu kaki Tukya telah terlekat pada belitan akar simpanan air menyebabkan pahanya tertindih. Kesakitan yang dirasakan Tukya amat pedih sehinggakan Tukya menyuruh isterinya untuk menggergaji pahanya namun tidak berjaya yang akhirnya menyaksikan kematian Tukya yang penuh tragis dan mengerikan bersama impiannya yang belum tercapai.
Seorang Tua Novel ‘Seorang Tua di Kaki Gunung’ merupakan karya terkenal beliau suatu ketika dulu. Mutu novel ini dijanjikan amat menarik sehinggakan ia pernah menjadi naskhah wajib pelajar tingkatan lima yang mahu mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Karya beliau sentiasa hidup di hati kita dan merentasi masa daripada satu generasi ke satu generasi.. Nilai novel ‘Seorang Tua di Kaki Gunung’ ini telah dianggap sebagai salah satu novel Malaysia Pilihan Abad ke-20 yang akhirnya ini telah diterjemahkan ke dalam bahasa Bahasa Inggeris oleh Thaiyibah Sulaiman dengan judul The Old Man of the Foot of the Mountion serta turut diterjemahkan ke Bahasa Jepun oleh Dr. Fujimorai dan Tahiyibah Sulaiman.


Sumber Rujukan:


Azizi Haji Abdullah, (1984). Seorang Tua di Kaki Gunung Tua. Kuala
      Lumpur
: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Mohd Yusof Hasan, (2009). Pemikiran Global Sasterawan Negara Shahnon
       Ahmad. Perak: Universiti Sains Malaysia
.

Sahlan Mohd Saman, (1984). Ulasan Seorang Tua di Kaki Gunung. Kuala
       Lumpur Penerbitan Tratra
.

Tengku Intan Marlina Tengku Mohd Ali, (2006). Pertentangan Nilai
        dan Psikologi 
Orang Tua Dalam Seorang Tua di Kaki Gunung. Jurnal
   Pengajian Melayu
.17. Dimuat turun www.myjurnal.my/public/article-download.php?id=72377

SEBUAH PEMIKIRAN UNTUK DIRUNGKAI






Pemikiran merupakan satu kegiatan dari proses akal atau otak sebagai salah satu organ penting bagi diri seseorang manusia. Organ ini merupakan ciptaan pertama dan utama insan oleh Tuhan untuk menyelesaikan masalah dalam kehidupannya. Lantaran bagi menghasilkan satu karya yang menarik maka seorang pengarang memerlukan instinct dan persepsi yang tersendiri. Melalui instinct dan persepsi inilah yang akan membawa pengarang untuk menulis karyanya yang mempunyai identitinya yang tersendiri. W.J.S Poerwadarminta berpendapat bahawa pemikiran itu biasanya disamakan dengan tema (Yusof Hasan, 2009) :
Tema ialah fikiran; dasar cerita yang dipercakapkan, dipakai sebagai pengarang.
Justeru jika kita menelusuri pemikiran Azizi Haji Abdullah menerusi novel Seorang Tua di Kaki Gunung secara keseluruhannya mengetengahkan tentang generasi tua dan muda; yang agak konservatif dimana amat sukar untuk menerima pandangan golongan muda serta sebaliknya begitu juga dilihat menerusi orang muda yang sering melontarkan saranan atau pandangan tenpa meneliti atau memahami kedudukan serta emosi golongan tua. Lantaran disebabkan itu konflik mulai timbul dengan adanya perbezaan pendapat yang wujud di tengah-tengah di antara kedua dua golongan ini.
Walaubagaimanapun, pemikiran yang ingin ditonjolkan di dalam novel karya beliau ini dilihat lebih berfokuskan maruah diri terutama si golongan tua yang merasakan maruahnya telah tercabar. Tukya sebagai watak utama amat merasakan maruahnya amat rendah dan semakin perit lebih lebih ia disebabkan sendiri oleh anaknya, cucu-cucunya serta orang kampung. Bagi Tukya cabaran-cabaran itu merupakan satu penghinaan terbuka ke atas dirinya dan dia harus mempertahankan maruah itu walaupun dengan tuntunan pengorbanan yang akhirnya memakan dirinya sendiri yang dapat kita lihat apabila Tukya membuat wawasannya tersendiri demi mempertahankan maruah diri serta kekuatan dirinya. Antaranya Tukya pernah berkata;
..Dan kemudian, akan dibuktikan di satu hari nanti bahawa rumah buruk itu akan digantikan dengan kayu-kayu kukuh, banir dan balak, tempeneh dan teras. Akan dibuktikan pada Fikri bahawa dalam usia tuanya dia masih mampu untuk menegakkan sebuah rumah yang kukuh di kaki gunung itu. (Azizi Haji Abdullah, 1984)
Bahkan jika kita teliti perkataan penting yang ada dalam penulisan Azizi ini lebih tertumpu kepada ‘maruah’. Hal ini jelas menunjukkan bahawa pemikiran Azizi Haji Abdullah yang lebih berfokuskan kepada soal maruah.

Di samping itu, pemikiran yang ingin ditonjolkan pengarang menerusi novel yang dipilih ini ialah satu pemikiran yang membincangkan mengenai nilai tradisi lama dengan moden yang beliau anggap amat penting kerana soal ini ternyata mengupas isu isu yang kerap berlaku disebabkan modeniti yang berlaku telah mengatasi konsep dan nilai tradisional satu tika dulu. Penulis ternyata merasakan kesan terhadap modeniti yang berlaku sehinggakan pemikiran itu jelas tercatat dalam novel beliau.
Akhir sekali pemikiran yang turut ditonjolkan oleh Azizi Haji Abdullah dalam novel ini yang dapat pengkaji lihat ialah pemikiran kedesaan. Pemikiran kedesaan ini dilihat lebih memfokuskan mengenai soal kehidupan manusia di desa atau di luar bandar. Bagi pengkaji Azizi Haji Abdullah dilihat berjaya menggarap dan menghayati kehidupan desa yang penuh dengan kemiskinan dan perjuangan untuk terus hidup. Penulis ternyata memiliki keistimewaan yang dapat mengangkat mutu novel ini ke satu tahap yang lebih baik apabila beliau memperihalkan kehidupan di desa yang dialami oleh Tukya dengan mengambarkannya memiliki pengetahuan memanggil pelanduk, malahan beliau turut mendkripsikan persekitaran hutan dengan nama-nama seperti genuak, seruntum, pelupuh dan sebagainya. Novel ini jelas membentangkan latar desa dan hutan yang tenteram, sunyi serta indah dan harmoni yang dapat kita lihat dengan petikan:

Dalam sejarah hidup mereka, belum pernah ada harimau membaham atau gajah turun minyak atau babi mengamuk. Bukan tidak ada harimau, bukan tidak ada gajah..tetapi semua itu bukanlah yang mereka cari dan mereka pula tidak pernah dicari..merasa cukup aman dan tidak ada sejemput pun kebimbangan bila ke gunung, ke huma atau ke rimba (Azizi Hj Abdullah, 1984).



SENSITIVITI DAN KREATIVITI PENULIS


        Sehubungan dengan itu, jika kita lihat sensitiviti penulis Azizi Haji Abdullah ini pula, pengkaji merasakan bahawa beliau amat sensitif dengan persoalan yang menjeremus kepada soal kekeluargaan, kemasyarakatan, kedesaan yang dilihat amat indah digarap dalam setiap penulisan beliau. Beliau lebih cenderung untuk menggunakan tema tema ini untuk dijadikan sebagai satu medium perantara untuk menyuarakan perubahan dalam masyarakat  yang beliau anggap  turut menjalar ke peringkat akar umbi hanya disebabkan oleh keluarga. Sebagai anggota masyarakat, Azizi Haji Abdullah turut merasai secara langsung perubahan yang berlaku terhadap masyarakatnya. Lantas perubahan tersebut telah dimanipulasi menggunakan kelebihan olahan kreativitinya lalu dijelmakan sama ada dalam bentuk puisi, esei kritikan, cerpen, drama mahupun novel.
Hal ini amat bertepatan dengan pendapat Teeuw bahawa karya sastera merupakan cerminan dan ekspresi yang mengungkapkan perasaan masyarakat. Sebagai sasterawan prolifik, Azizi boleh dikatakan amat berjaya mempamerkan corak perubahan masyarakatnya mengikut peredaran zaman menerusi karya-karya kreatifnya lantaran beliau berkarya selama lima dekad, Jelas satu jangka  masa  yang  cukup  panjang itu  bukan sahaja membolehkan beliau menjadi saksi perubahan zaman malah mematangkan beliau sebagai seorang pengarang kerana setiap dekad mempunyai   corak   peristiwa   dan   cerita   tersendiri.   Secara   tidak   langsung,   Azizi   sebenarnya   telah memanifestasikan perubahan demi perubahan yang berlaku dalam masyarakat menerusi karya kreatifnya dari semasa ke semasa.  Kepekaan Azizi terhadap perubahan inilah menyebabkan beliau tidak pernah jemu dalam mengetengahkan isu kemasyarakatan dalam berkarya bagi mengungkap persoalan manusia dan kemanusiaan.   Hakikat   ini   turut   ditegaskan   oleh   Abdullah   Zawawi   Mohd   Hairani bahawa kecenderungan Azizi mengetengahkan permasalahan masyarakatnya dari pelbagai sudut kehidupan sering terpancar dari awal secara berulang-ulang hinggga ke akhir usia pengkaryaannya. 
Sejajar dengan itu jika kita menelusuri pemikiran penulis Azizi Haji Abdullah ini dapat dilihat beliau merupakan seorang penulis yang berjiwa sensitif dan acap kali mengambil latar tradisi yang amat sinonim dengan masyarakat Melayu seperti desa, sawah bendang, hutan belantara, sungai dan laut maka tidak hairanlah hasil nukilan, sensitiviti dan pemikiran yang ditonjolkan beliau amat dekat di hati masyarakat. Sebaliknya beliau dilihat amat tidak gemar dengan karya-karya yang menjeremus kepada eksperimental kerana baginya ia merupakan sebuah karya yang ‘meluat dan mengarut’ dan baginya seorang penulis seharusnya menyuarakan soal rakyat berbanding hal yang lainnya. Walaupun perjuangan rakyat sesuatu yang dianggap tipikal pada masa itu, namun jika dilihat dalam beberapa tahun kemudian hinggalah  sekarang, mencari sastera yang menyuarakan nadi rakyat merupakan satu perkara yang amat sukar berbeza dengan suatu ketika dahulu.

Sumber Rujukan
Mohd Yusof Hasan, (2009). Pemikiran Global Sasterawan Negara Shahnon
        Ahmad. 
Perak: Universiti Sains Malaysia.

Mohd Zainin bin Kosnon. Keluarga dan Perubahan Masysrakat: Suatu Wacana Kritis      
       Berdasarkan Karya Azizi Haji Abdullah. Kertas Cadangan Penyelidikan Doktor Falsafah        Persuratan Melayu. Dimuat turun 
http://documents.tips/documents/01pengenalan.html