Isnin, 4 April 2016

SENSITIVITI DAN KREATIVITI PENULIS


        Sehubungan dengan itu, jika kita lihat sensitiviti penulis Azizi Haji Abdullah ini pula, pengkaji merasakan bahawa beliau amat sensitif dengan persoalan yang menjeremus kepada soal kekeluargaan, kemasyarakatan, kedesaan yang dilihat amat indah digarap dalam setiap penulisan beliau. Beliau lebih cenderung untuk menggunakan tema tema ini untuk dijadikan sebagai satu medium perantara untuk menyuarakan perubahan dalam masyarakat  yang beliau anggap  turut menjalar ke peringkat akar umbi hanya disebabkan oleh keluarga. Sebagai anggota masyarakat, Azizi Haji Abdullah turut merasai secara langsung perubahan yang berlaku terhadap masyarakatnya. Lantas perubahan tersebut telah dimanipulasi menggunakan kelebihan olahan kreativitinya lalu dijelmakan sama ada dalam bentuk puisi, esei kritikan, cerpen, drama mahupun novel.
Hal ini amat bertepatan dengan pendapat Teeuw bahawa karya sastera merupakan cerminan dan ekspresi yang mengungkapkan perasaan masyarakat. Sebagai sasterawan prolifik, Azizi boleh dikatakan amat berjaya mempamerkan corak perubahan masyarakatnya mengikut peredaran zaman menerusi karya-karya kreatifnya lantaran beliau berkarya selama lima dekad, Jelas satu jangka  masa  yang  cukup  panjang itu  bukan sahaja membolehkan beliau menjadi saksi perubahan zaman malah mematangkan beliau sebagai seorang pengarang kerana setiap dekad mempunyai   corak   peristiwa   dan   cerita   tersendiri.   Secara   tidak   langsung,   Azizi   sebenarnya   telah memanifestasikan perubahan demi perubahan yang berlaku dalam masyarakat menerusi karya kreatifnya dari semasa ke semasa.  Kepekaan Azizi terhadap perubahan inilah menyebabkan beliau tidak pernah jemu dalam mengetengahkan isu kemasyarakatan dalam berkarya bagi mengungkap persoalan manusia dan kemanusiaan.   Hakikat   ini   turut   ditegaskan   oleh   Abdullah   Zawawi   Mohd   Hairani bahawa kecenderungan Azizi mengetengahkan permasalahan masyarakatnya dari pelbagai sudut kehidupan sering terpancar dari awal secara berulang-ulang hinggga ke akhir usia pengkaryaannya. 
Sejajar dengan itu jika kita menelusuri pemikiran penulis Azizi Haji Abdullah ini dapat dilihat beliau merupakan seorang penulis yang berjiwa sensitif dan acap kali mengambil latar tradisi yang amat sinonim dengan masyarakat Melayu seperti desa, sawah bendang, hutan belantara, sungai dan laut maka tidak hairanlah hasil nukilan, sensitiviti dan pemikiran yang ditonjolkan beliau amat dekat di hati masyarakat. Sebaliknya beliau dilihat amat tidak gemar dengan karya-karya yang menjeremus kepada eksperimental kerana baginya ia merupakan sebuah karya yang ‘meluat dan mengarut’ dan baginya seorang penulis seharusnya menyuarakan soal rakyat berbanding hal yang lainnya. Walaupun perjuangan rakyat sesuatu yang dianggap tipikal pada masa itu, namun jika dilihat dalam beberapa tahun kemudian hinggalah  sekarang, mencari sastera yang menyuarakan nadi rakyat merupakan satu perkara yang amat sukar berbeza dengan suatu ketika dahulu.

Sumber Rujukan
Mohd Yusof Hasan, (2009). Pemikiran Global Sasterawan Negara Shahnon
        Ahmad. 
Perak: Universiti Sains Malaysia.

Mohd Zainin bin Kosnon. Keluarga dan Perubahan Masysrakat: Suatu Wacana Kritis      
       Berdasarkan Karya Azizi Haji Abdullah. Kertas Cadangan Penyelidikan Doktor Falsafah        Persuratan Melayu. Dimuat turun 
http://documents.tips/documents/01pengenalan.html 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan