Isnin, 4 April 2016

SEBUAH PEMIKIRAN UNTUK DIRUNGKAI






Pemikiran merupakan satu kegiatan dari proses akal atau otak sebagai salah satu organ penting bagi diri seseorang manusia. Organ ini merupakan ciptaan pertama dan utama insan oleh Tuhan untuk menyelesaikan masalah dalam kehidupannya. Lantaran bagi menghasilkan satu karya yang menarik maka seorang pengarang memerlukan instinct dan persepsi yang tersendiri. Melalui instinct dan persepsi inilah yang akan membawa pengarang untuk menulis karyanya yang mempunyai identitinya yang tersendiri. W.J.S Poerwadarminta berpendapat bahawa pemikiran itu biasanya disamakan dengan tema (Yusof Hasan, 2009) :
Tema ialah fikiran; dasar cerita yang dipercakapkan, dipakai sebagai pengarang.
Justeru jika kita menelusuri pemikiran Azizi Haji Abdullah menerusi novel Seorang Tua di Kaki Gunung secara keseluruhannya mengetengahkan tentang generasi tua dan muda; yang agak konservatif dimana amat sukar untuk menerima pandangan golongan muda serta sebaliknya begitu juga dilihat menerusi orang muda yang sering melontarkan saranan atau pandangan tenpa meneliti atau memahami kedudukan serta emosi golongan tua. Lantaran disebabkan itu konflik mulai timbul dengan adanya perbezaan pendapat yang wujud di tengah-tengah di antara kedua dua golongan ini.
Walaubagaimanapun, pemikiran yang ingin ditonjolkan di dalam novel karya beliau ini dilihat lebih berfokuskan maruah diri terutama si golongan tua yang merasakan maruahnya telah tercabar. Tukya sebagai watak utama amat merasakan maruahnya amat rendah dan semakin perit lebih lebih ia disebabkan sendiri oleh anaknya, cucu-cucunya serta orang kampung. Bagi Tukya cabaran-cabaran itu merupakan satu penghinaan terbuka ke atas dirinya dan dia harus mempertahankan maruah itu walaupun dengan tuntunan pengorbanan yang akhirnya memakan dirinya sendiri yang dapat kita lihat apabila Tukya membuat wawasannya tersendiri demi mempertahankan maruah diri serta kekuatan dirinya. Antaranya Tukya pernah berkata;
..Dan kemudian, akan dibuktikan di satu hari nanti bahawa rumah buruk itu akan digantikan dengan kayu-kayu kukuh, banir dan balak, tempeneh dan teras. Akan dibuktikan pada Fikri bahawa dalam usia tuanya dia masih mampu untuk menegakkan sebuah rumah yang kukuh di kaki gunung itu. (Azizi Haji Abdullah, 1984)
Bahkan jika kita teliti perkataan penting yang ada dalam penulisan Azizi ini lebih tertumpu kepada ‘maruah’. Hal ini jelas menunjukkan bahawa pemikiran Azizi Haji Abdullah yang lebih berfokuskan kepada soal maruah.

Di samping itu, pemikiran yang ingin ditonjolkan pengarang menerusi novel yang dipilih ini ialah satu pemikiran yang membincangkan mengenai nilai tradisi lama dengan moden yang beliau anggap amat penting kerana soal ini ternyata mengupas isu isu yang kerap berlaku disebabkan modeniti yang berlaku telah mengatasi konsep dan nilai tradisional satu tika dulu. Penulis ternyata merasakan kesan terhadap modeniti yang berlaku sehinggakan pemikiran itu jelas tercatat dalam novel beliau.
Akhir sekali pemikiran yang turut ditonjolkan oleh Azizi Haji Abdullah dalam novel ini yang dapat pengkaji lihat ialah pemikiran kedesaan. Pemikiran kedesaan ini dilihat lebih memfokuskan mengenai soal kehidupan manusia di desa atau di luar bandar. Bagi pengkaji Azizi Haji Abdullah dilihat berjaya menggarap dan menghayati kehidupan desa yang penuh dengan kemiskinan dan perjuangan untuk terus hidup. Penulis ternyata memiliki keistimewaan yang dapat mengangkat mutu novel ini ke satu tahap yang lebih baik apabila beliau memperihalkan kehidupan di desa yang dialami oleh Tukya dengan mengambarkannya memiliki pengetahuan memanggil pelanduk, malahan beliau turut mendkripsikan persekitaran hutan dengan nama-nama seperti genuak, seruntum, pelupuh dan sebagainya. Novel ini jelas membentangkan latar desa dan hutan yang tenteram, sunyi serta indah dan harmoni yang dapat kita lihat dengan petikan:

Dalam sejarah hidup mereka, belum pernah ada harimau membaham atau gajah turun minyak atau babi mengamuk. Bukan tidak ada harimau, bukan tidak ada gajah..tetapi semua itu bukanlah yang mereka cari dan mereka pula tidak pernah dicari..merasa cukup aman dan tidak ada sejemput pun kebimbangan bila ke gunung, ke huma atau ke rimba (Azizi Hj Abdullah, 1984).



Tiada ulasan:

Catat Ulasan