Assalammualaikum
w.b.t dan salam sejahtera kepada pembaca yang dikasihi sekalian dan diharapkan
dalam rahmat Allah s.w.t hendaknya. Kalau jika sebelum ini pengkaji mencoretkan
hasil nukilan puisi , maka kali ini pengkaji akan mencoretkan serba sedikit
latar belakang serta pemikiran seorang penulis yang tidak asing lagi
kewujudannya dalam dunia kesusasteraan di Malaysia. Azizi Hj Abdullah merupakan
penulis yang dilahirkan di Bukit Meryam, Kota Kuala Muda, Kedah pada 4 April
1942. Beliau merupakan seorang pengarang profilik dalam penulisan cerpen dan
novel. Sewaktu kerjaya beliau sebagai seorang penulis, beliau pernah
menggunakan pelbagai nama pena atau samaran seperti Anita, Ibnu Abdullah
al-Haj, Jamong, Qalam Adly, Shahrulmanjarishah, Susulawati dan Tukya dalam
penulisannya namun lebih dikenali dengan nama sebenarnya.
Azizi
Haji Abdullah menerima pendidikan awal di Sekolah Melayu Bukit Meryam hingga
lulus darjah enam. Kemudian, beliau belajar di Madrasah Dairatul Maarif
al-Wataniah, Kepala Batas, Seberang Perai mulai dari tahun 1955 hingga 1965.
Walaupun jarak madrasah dengan rumahnya kira-kira 30 kilometer, namun itu tidak
menghalang minat Azizi untuk belajar di sana sekalipun terpaksa mengayuh
basikal sejauh 60 kilometer setiap hari. Pendidikan agama yang diterimanya
melayakkan Azizi menjadi guru agama di Sekolah Kebangsaan Sungai Taka, Serdang,
Kedah mulai 17 Oktober 1965 sehinggalah beliau bersara pada tahun 1997. Azizi
mulai menulis pada tahun 1960-an, cerpennya yang pertama berjudul “Sisa”
tersiar dalam Warta Mingguan pada tahun 1963 dan sejak itu beliau tidak menoleh
ke belakang lagi dalam bidang penulisan, malah turut aktif menulis novel,
kritikan sastera, skrip drama radio dan TV, dan rencana.
Lantas sebagai seorang novelis, Azizi mulai
terkenal setelah novelnya Senja Belum Berakhir memenangi Hadiah Karya Sastera
pada tahun 1971 yang kemudiannya menyaksikan beliau seringkali memenangi hadiah
tersebut dalam bahagian cerpen pula.
Tetapi kemuncak kepada pencapaiannya dalam bidang penulisan novel boleh
dikatakan terpancar melalui novel Seorang Tua di Kaki Gunung (selepas ini
ditulis sebagai ST dKG) pada tahun 1982.Novel terakhir karya beliau adalah
novel setebal 299 muka bertajuk 'MANDALA DUNIA KE DUNIA' yang sempat ditulis
sebelum beliau menghembuskan nafas terakhir ketika berusia 69 tahun pada
tanggal 21 Ogos 2011 akibat serangan jantung di Hospital Pulau Pinang.
Allahyarham telah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Jamiul Makmur di
Kulim.
Sumber Rujukan:
Azizi Haji Abdullah, (1984). Seorang Tua di Kaki Gunung Tua. Kuala
Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Mohd Thani Ahmad, Sarah Sadon, Suhaimi Haji Muhammad, (1984). Wajah. Kuala Lumpur Dewan Bahasa dan Pustaka.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan