Sabtu, 28 Mei 2016

CERPEN PENDEK : TRAGEDI SULU

Pagi itu cerahnya seperti selalu, cerah sehingga melihatkan kehijauan daunan dan kicauan burung yang entah berkicau membicarakan sesuatu kepada alam seperti hari-hari sebelumnya. Seperti kemalasan yang memang tertanam di dalam diri Kila yang tak dapat diubah, seperti sebelumnya berat rasanya untuk membuka mata malah makin ditarik selimut tebal itu sehingga menutupi matanya agar tidak silau dengan cahaya lampu yang dihidupkan oleh ibunya sebentar tadi.  Kila masih lagi mahu menyambung mimpi indahnya sibuk melayani kemanisan mimpi, menyambung cerita fantasi yang tiada penghujungnya. Sayup-sayup kedengaran alunan merdu zikir “Subhanallah Walhamdullillah” berkumandang di ruang tamu. Ibu Kila memang begitu, pagi-pagi lagi dipasangnya siaran astro Oasis yang memang menyiarkan alunan alunan zikir memuji kebesaran Allah SWT, buka pintu rezeki lebih-lebih lagi hari itu merupakan hari penghulu segala hari. “Kila bangun, mandi solat, dah nak pukul tujuh ni nanti lambat nak ke sekolah tu”. Kila yang terdengar ibunya mengatakan waktu hampir masuk pukul tujuh pagi dengan pantas mengambil tuala dan segera menuju ke bilik mandi. Kila bukannya takut terlepas waktu solat subuh tapi lebih ditakutnya terlambat ke sekolah, lebih-lebih lagi dia seorang pengawas ketika itu. Lantas dengan keadaan separuh sedar Kila mandi dengan cepat, tidak dibasahkan rambutnya yang panjang kerana takut rambut itu nanti lambat kering maka nanti dia terpaksa memakai tudung dengan keadaan rambut yang lembap. Kila segera bersiap dan turun ke meja makan untuk menjamu sarapan yang disediakan oleh ibunya.
“Kila tak nak duduk kat rumah ja kah hari ni?Ada yang penting ke kat sekolah, kalau takda lebih baik duduk rumah teman ibu”. Kata ibu Kila dengan tiba-tiba, Kila merasa pelik dengan soalan ibunya namun dia tahu ibunya sengaja menggunakan alasan peneman agar dia duduk di rumah namun dia terpaksa juga kesekolah kerana peperiksaan STPM penggal kedua makin hampir. “Ala ibu tak payah lah risau, banyak askar dan  abang polis yang jaga kat sekitar sekolah tu, lagipun tempat tu jauh kan. InshaAllah takda apa dah tiga hari dah pun ” kata Kila. Ibunya hanya berdiam diri, mungkin disebabkan pencerobohon yang berlaku tiga hari lepas menyebabkan ibunya berkata sedemikian. Ialah kerana jarang sekali ibunya menyuruh Kila untuk tinggal di rumah malah kalau boleh ibunya lebih gemar kalau Kila setiap hari pergi kesekolah. Namun disebabkan kedatangan anggota militan itu ke bumi Lahad Datu telah mula merisaukan ibunya, cuma yang peliknya hari ini ibu Kila menyuruhnya untuk tidak kesekolah. Kenapa bukan dari semalam lagi dan hari sebelumnya. Belum sempat Kila bertanya tiba-tiba terdengar bunyi hon kereta dari hadapan rumahnya. “Ok lah bu, Kila gerak dulu. Ayah dah sampai tu”. Kila segera menggalas begnya dan kemudiannya menyalam ibunya sebelum berlari anak menuju ke kereta ayahnya.
Sepanjang perjalanan kesekolah, ayah Kila hanya berdiam seolah-olah memikirkan sesuatu namun takut untuk diluahkan apa yang dirisaukan. Mungkin tahu akan jawapan yang bakal diberikan sama sahaja seperti apa yang dijawab kepada ibunya sebentar tadi. “Esok ayah cuti?” kata Kila berusaha memecahkan kesunyian. “Rasanya tak,ayah kena jaga tempat kerja ayah tu. Takut-takut nanti datang penceroboh tu”. Kila terdiam, perasaan risau mula terpancar di riak wajahnya. Ayahnya merupakan seorang penyelia operator yang bekerja di pelabuhan, namun ayahnya juga bertugas sebagai seorang askar wataniah yang bertanggungjawab menjaga tempat kerja mereka. “Jangan risaulah, takda apa tu. Tempat tu kan jauh, Inshaallah takda apa” Kata ayah seolah-olah ingin menyindir Kila untuk tidak risau sepertimana ibu dan ayah risaukannya. Kila terus mengalihkan mukanya memandang ke luar tingkap kereta, dilihatnya banyak abang-abang pakcik pakcik askar telah berkumpul di dewan serbaguna itu dan tiba tiba perhatiannya dialihkan dengan trak-trak hitam yang dipenuhi dengan pelajar sekolah di dalamnya. Suka Kila melihat trak yang membawa anak-anak polis ini, pasti ada sahaja karenah yang dapat dia lihat melalui tingkap hadapan kereta ayahnya. Pelajar-pelajar dalam trak itu mungkin telah biasa dengan Kila akan melambai-lambai kearah Kila dan apabila hampir tiba ke sekolah Kila budak-budak itu nanti akan menjerit “Bye..bye..” dengan kuat dan Kila hanya tersenyum melihat gelagat mereka.
“Suka betul Kila layan budak-budak tu, hari ni ayah ambil lepas solat Jumaat. Kila tunggu tempat biasa ya.” Kata ayahnya. Kila hanya menggangguk dan segera menyalam ayahnya. Tiba di kelas, kelihatan rakan sekelasnya sibuk membincangkan kes pencerobohan itu, baru kali ini kelas itu dihujani dengan falsafah-falsafah politik setiap dari mereka. Banyak yang mengeluarkan fakta-fakta sejarah, menjelaskan kedudukan Sabah itu. Hampir mengalahkan guru Sejarah dilihatnya kawan-kawannya. Kila terus duduk, tidak ingin rasanya untuk masuk campur dalam perbincangan mereka. Mereka hanya diam apabila ada cikgu mula masuk.
Pembelajaran dimulakan seperti biasa, sehinggalah waktu akhir cikgu Rashid masuk. Namun kali ini cikgu Rashid kelihatan gelisah, banyak panggilan telefon yang diterima . Kami sekelas hanya memerhatikan gelagat cikgu Rashid, sehinggalah ada kelibat orang tua di luar kelas yang meminta izin untuk membawa anaknya pulang terlebih dahulu. Cikgu Rashid dengan serta merta memberikan keizinan, dan kelihatan Miza budak kelas sebelah bersebelahan dengan orang tua itu sambil menggalas beg. Kila dan rakannya yang lain mula tertanya-tanya mengenai apa yang berlaku, Miza merupakan anak Polis Gerakan Am. Tindakan ayahnya mengambilnya di tentu sahaja mengundang seribu pertanyaan. Akhirnya Cikgu Rashid mengarahkan kami semua untuk pulang lebih awal dan memberi pesan untuk terus ke rumah.Kila dan rakan-rakannya yang lain segera mengemas buku dan keluar ke kelas. Kelihatan banyak kereta, bas sekolah dan para ibu bapa yang menunggu di luar  pagar sekolah. Kila juga melihat kelibat kereta ayahnya di luar sekolah, segak memakai baju Melayu sambil melambai-lambai kearah Kila.Kila segera berlari mendapatkan ayahnya. “Ayah hantar Kila balik dulu ya, nanti lepas solat Jumaat ayah kena ke tempat kerja ayah dulu dan jangan lupa pesan kat ibu ayah tak balik malam ni ” kata ayahnya. Ingin sahaja Kila bertanya kenapa ramai ibu bapa yang datang dan kenapa ayahnya kelihatan terburu-buru namun ditahan mulutnya, sekadar menggangguk tanda memahami kata ayahnya lantas segera Kila masuk ke dalam kereta.
Sewaktu dalam perjalan, Kila merasakan   jalan semakin sesak, bunyi-bunyi siren kereta polis dan ambulans boleh didengarinya dari jauh. Trak-trak lori yang membawa budak-budak sekolah itupun tidak tahu berapa banyak yang dilihat Kila berulang alik. Kila mula berdebar-debar, tidak pernah dilihatnya keadaan sedemikian rupa. Dalam fikirannya cuma terlintas satu perkara, “pencoroboh tu datang ke mari kah? Ya Allah ya tuhanku kau selamatkanlah bumi Lahad Datu ini” kata Kila di dalam hati. Setibanya Kila di rumah, terus sahaja Kila naik kerumah untuk mencapai komputer riba, mahu betul dia mengetahui apa sebenarnya yang berlaku pada hari itu. Dihidupkannya komputer ribanya dan terus membuka laman facebook kerana beranggapan tentu sahaja laman itu mampu memberikan gambaran apa yang sebenarnya yang berlaku. Tepat sekali jangkaan Kila apabila di suapan berita Kila penuh dengan ucapan ucapan sedih dan takziah tak kurang juga yang melahirkan perasaan benci terhadap anggota Militan itu. Rupanya-rupanya, hari itu telah berlakunya satu pertempuran yang telah menggorbankan nyawa dua anggota komando polis VAT 69, Inspektor Zulkifli Mamat dan Koperal Sabaruddin Daud termasuk nyawa 12 anggota pengganas. Kila hanya terdiam, tubuhnya terlalu penat untuk berfikir apa yang baru terjadi, kepenatannya itu akhirnya menyebabkan dia terlena.
Tok..Tok, kedengaran pintu bilik Kila diketuk “Kila bangun, maghrib dah ni” suara ibu Kila cuba mengejutkan Kial. Kila terkejut dan lebih terkejut lagi apabila melihat waktu telah menunjukkan pukul 7.30 malam. Kila segera membuka pintu dan dilihatnya ibunya sibuk memasak menyiapkan makan malam. Siap mandi dan makan Kila duduk tercegat di hadapan televisyen, kalau sebelum ini Kila akan terus ke atas untuk mengulang kaji pelajaran namun malam itu dia ingin menonton Berita pukul 8 semata-mata untuk melihat dan mendengar sendiri kejadian itu dengan lebih lanjut.
Kila khusyuk mendengar apa yang diperkatakan oleh pemberita-pemberita itu, tidak beralih sedikitpun Kila dihadapan tv kali ini. Selesai sahaja berita yang menyentuh mengenai Lahad Datu, terus sahaja Kila naik kebilik dengan harapan pihak yang bertanggungjawab segera bertindak memperbetulkan keadaan sebelum keadaan menjadi teruk bukan sekadar memberi ucapan takziah kepada keluarga si mati, usai sahaja Kila menyiapkan kerja sekolah dia terus tidur.
“Gempar..!! Satu lagi pembunuhan yang baru sahaja dilaporkan berlaku di Kampung Simunul Semporna, enam lagi anggota polis telah gugur dalam serangan hendap yang berlaku 8.00 malam tadi yang turut membunuh enam lagi anggota pengganas”.
Begitulah apa yang diucapkan oleh pembaca berita itu tadi, Kila tersentak dengan apa yang baru terjadi. Sedangkan baru semalam kejadian yang mengorbankan nyawa ini berlaku namun nampaknya kejadian ini turut berlaku di daerah Semporna. Namun kali ini pembunuhan yang berlaku amat menyayat hati Kila, anggota-anggota polis ini dikhabarkan telah diseksa terlebih dahulu sehingga ada yang dippenggal kepalanya dan bangsat-bangsat ini telah merakam kejadian dahsyat itu sebelum dimuat naik ke media massa. Air mata Kila mula mengalir, tersentuh hati Kila melihat rengekan dan tangisan anak-anak pejuang yang terkorban itu yang menangis memanggil ayah mereka. Si Ibu hanya mampu menutup muka, mungkin tidak sanggup untuk mengatakan bahawa ayah mereka telah tiada.Tiada kerana mati mempertahankan Negara.
Kila sama sekali tidak menyangka perkara buruk ini akan berlaku dengan begitu cepat, beribu persoalan bermain diminda anak muda itu.”Siapa yang harus dipersalahkan?”, “Mengapa kejam sungguh bangsat-bangsat itu?”. Serabut kepala Kila memikirkannya, makin difikirnya makin sakit hati dia rasakan.Kila kemudian seperti hari semalam tidur tapi kali ini tidurnya terganggu memikirkan apa yang akan berlaku esok hari.
Keesokannya sekolah dibuka seperti biasa, namun hanya segelintir pelajar yang datang pada pagi itu. Mungkin masih berkurung dirumah disebabkan tahu keadaan masih belum stabil, dan kebanyakan pelajar tingkatan enam dan lima sahaja yang datang kerana risau memikirkan peperiksaan SPM dan STPM yang akan mereka tempuhi. Maka seperti biasa juga setiap pagi Isnin akan berlangsung perhimpunan di perkarangan sekolah cuma yang berbezanya hari itu kami semua diarahkan terus duduk dan tiada pengawas yang mengetuai perhimpunan hanya cikgu Hanif selaku cikgu disiplin memberikan ucapannya.
Cikgu Hanif mula dengan ucapannya, mukanya agak serius sesuai dengan misai seperti pelakon Gerak Khas kegemaran Kila yang entah dari abad berapa masih setia dibawah pengaruh Dato Yusof  Haslam, maka ucapannya pun dimulakan dengan batuk kecil menandakan ada perkara penting yang ingin disampaikan.
“Seperti yang kamu tahu  disebabkan perkara yang berlaku baru-baru ini, jadi cikgu minta kamu semua berhati hati walau dimana pun kamu berada. Pastikan kamu semua balik kerumah selepas selesai waktu pembelajaran dan jangan merayau katanya sedikit tegas dengan tiba-tiba menyebabkan pelajar lelaki di barisan belakang terdiam sekaligus menghentikan perbualan mereka. Ketika keadaan mula senyap lantas Cikgu Haniff meneruskan lagi ucapannya.
“Cikgu harap kamu tidak pandang enteng masalah ini, bukan senang Lahad Datu ni nak jadi carian utama goggle” katanya berseloroh sambil memegang hujung misainya.
Suasana yang tadinya senyap berderai dengan sindiran cikgu disiplin tadi sambil ada yang menyorak hidup Lahad Datu. Ya, memang agak sukar untuk melihat Lahad Datu akhirnya muncul di dada dada akhbar keluar di corong-corong radio dan disebut-sebut oleh wartawan Utama tv 3 dengan kerap, paling pun terselit di bahagian bawah televisyen yang kelihatan seperti sari kata yang lajunya seperti mahu menguji kepantasan mata penontonnya. Namun disebabkan peristiwa 11 Februari 2013 itu, penduduk luar Sabah kini mula mengenal apa itu Lahad Datu, mula menyelidik apa yang istimewa sangat daerah Lahad Datu sehingga datang segerombolan askar menyuarakan Lahad Datu tanah mereka hak milik mereka warisan mereka.Kila hanya terdiam di belakang baris sehingga disuruh kembali pulang ke kelas. Kila masih memikirkan apa yang dikatakan oleh cikgu disiplin sebentar tadi, baginya apa yang dikatakan oleh gurunya sebelum mengakhiri perhimpunan amat dalam maksudnya.
“Peristiwa ni mungkin amaran dari Allah SWT ada perkara yang kita buat sebab berlakunya perkara malang ini. Allah nak sedarkan kita, jangan leka perkara ni bukan boleh bawa main. Teruskan berdoa agar tanah kelahiran kita masih tetap tanah kita dengan sedikit senyuman terukir di bibirnya yang Kila rasakan hanyalah untuk menutup kebimbangan di hatinya agar tak terlihat oleh murid-murid yang mendongak sakit melihat dan mendengar ucapan cikgu-cikgu pada hari itu.
Selesai sahaja perhimpunan, mereka beratur dan kembali kelas. Kila yang kalau sebelum ini tak ingin masuk campur dengan perbualan penceroboh ini, kini mula terjebak untuk mengetahui apa yang diketahui oleh kawan sekelasnya yang lain.  “Eh Kila..!kau tak kenal ke siapa yang datang ke tempat kita tu, sama bangsa dengan kau tu Kila. Entah-entah kau puteri ketua penceroboh tu kan? Boleh tak suruh mereka berambus dari sini? Hahaha..” kata Wan seong pelajar lelaki yang memang terkenal dengan sikapnya yang suka mengusik. Tersirap darah Kila apabila mendengar apa yang baru sahaja diucapkan oleh kawannya. Kila tahu Wan hanya bergurau, namun baginya ia satu perkara yang amat sensitif kerana melibatkan bangsa, mau saja dia bangun dan terus beredar namun ditahan api kemarahan semata-mata ingin menjaga hati kawan-kawannya.  “Kenapa nak salahkan kami kerana tahi yang dibawa oleh orang lain, kenapa nak samakan kami dengan tahi yang entah masuk dari mana? Ishh yang Kiram ni pun satu, dah kenapa nak serang kat sini ? Apa sangat yang ada kat sini, nak kata Lahad Datu ni maju rasanya lagi maju perusahan air tebu jiran depan rumah aku. Nama ja terkenal dengan kelapa sawit, namun segala hasil kelapa sawit tu bukannya orang sini yang telan tapi dibawa ketempat lain untuk mereka hadam segala hasil-hasilnya.”Berbagai persoalan timbul di dalam fikiran Kila, perasaan marah mulai menguasai Kila, Kila marah dengan kehadiran bangsat-bangsat itu, Kila marah dengan ejekan kawan-kawannya, Kila marah kerana dia dilahirkan sebangsa dengan bangsat-bangsat itu. Baginya disebabkan dia sebangsa dengan bangsat itu, dia terpaksa menelan semua tomahan yang dilontarkan oleh orang sekelilingnya. Apa salahnya jika sebangsa dengan penjahat-penjahat itu, bukankah kami yang sebangsa ini juga lahir di daerah ini berbanding mereka yang masuk secara berbahaya. Tidakkah mereka dapat bezakan kami dengan mereka, butakah mereka sehingga sanggup menuduh kami sebagai darah pengganas.  
Waktu di dinding jelas menunjukkan waktu tepat 12.45 menandakan waktu tamatnya sesi pembelajaran. Kila dengan segera berdiri dan meninggalkan kelas, dia tidak ingin duduk lama di dalam kelas kerana hatinya tidak tahan mendengar kawan sekelasnya berbincang mengenai kejadian pencerobohan tersebut. Bagi Kila dia tidak kisah jika kawan-kawannya sekadar membicarakan pencerobohan itu, namun bila dia digelar sebagai “Puteri Sulu” dia merasakan seolah-olah berbeza dari seorang rakyat asli negeri Sabah. Kila segera keluar dari pintu sekolah, apabila dilihat ayahnya tiada terus sahaja dia ke pondok bas, sanggup dia menaiki bas tambang daripada menunggu ayahnya kerana takut terpaksa berjumpa dengan kawan-kawannya lagi. “Puteri Sulu naik bas ni nak ke mana?haha” tiba –tiba satu suara yang dikenali menerpanya. Kila tahu itu suara Wan, Kila tahu dia hanya bergurau tapi kali ini Kila tak dapat menahan marahnya dirasakan Wan bersikap kurang ajar kerana memanggilnya dengan gelaran tersebut di depan khalayak sehingga ada yang mentertawakannya.
“Wan..! Kau jaga sikit mulut kau tu ya. Aku bukan Sulu, keturununanku adalah Suluk. Sulu tu yang baru semalam bunuh anggota polis tu. Kau nak aku bunuh kau juga ke”? kata Kila menengking Wan. Wan yang tidak mahu kalah makin membalas kata-kata Kila “Memang darah-darah Sulu ni suka bunuh orang kan?”
Tanpa berfikir panjang, Kila telah menolak Wan dengan kuat  ke belakang sehingga mungkin Kila tidak perasan bahawa adanya curam di belakang Wan yang akhirnya membuatkan Wan hilang stabil dan jatuh terguling sebelum kepalanya terkena batu. Habis merah baju Wan dilumuri dengan darah, Kila tercengang melihat kejadian yang berlaku dihadapannya. Bukan niat Kila untuk menolaknya hingga jatuh, namun apa yang Wan katakan itu yang menyebabkannya hilang pertimbangan. Berpusu-pusu pelajar yang lain turun ke tempat kejadian untuk melihat keadaan Wan.Kila kemudian dengan segala keberanian yang dia ada turun pergi ke tempat kejadian, alangkah terkejutnya Kila apabila Wan langsung tidak bergerak dan pelajar yang lain hanya memandang Kila seolah-olah menyalahkan Kila. Kila hanya mampu membiarkan pandangan itu, “Aku bukan pembunuh, mereka yang pembunuh, aku tak maksud nak bunuh kau Wan. Mereka tu yang kena keluar mereka yang racun fikiran kita. Keluar!Keluar! Keluar! ,” Kila mula meracau seperti kerasukan.
Tiba-tiba bunyi das tembakan mula kedengaran,bertempiaran pelajar-pelajar lari menyelamatkan diri. Kila melihat kelibat seorang lelaki yang disangkanya penduduk tempatan namun rupanya adalah salah seorang anggota militan itu.  Anggota itu cuba bercakapa dengan Kila namun hanya sedikit yang difahami oleh Kila kerana dia pernah mendengar bahasa itu digunakan dirumahnya. Namun untuk menjawab kembali pertanyaan anggota militan itu tidak pandai untuk Kila mengatur bahasanya. Anggota yang bertanya itu semakin lama dilihat semakin marah kerana Kila tidak menjawab sepatah pun sehinggakan dia mengacukan senapangnya agar Kila menjawab apa yang telah dikatakannya sebentar tadi dan akhirnya Kila terdengar kembali bunyi das tembakan. Kila hanya berteriak kerana menyangka das itu ditujukan kepadanya, dalam fikiran Kila mungkin ini balasan kerana telah menolak kawannya sebentar tadi, mungkin ini balasannya, sepatutnya dia hanya bersabar dengan apa yang dikatakan oleh kawannya itu dan tidak menyalahkan penceroboh itu yang telah meracun fikirannya untuk berbuat kejahatan walhal itu adalah tindakannya sendiri. Namun semuanya terlambat, nasi sudah menjadi bubur Kila rebah ke tanah seperti pejuang yang jatuh ke tanah cuma bezanya mereka jatuh dengan bermaruah tapi Kila jatuh dengan membawa seribu penyesalan.
Sewaktu rebah itu sekali lagi Kila mendengar das tembakan yang kali ini amat kuat bunyinya dengan jerita seakan suara Wan memanggil namanya. “Kila, bangun Kila bangun”. Kila berpaling dan melihat jelas susuk tubuh Wan yang cuba menggoncangkan tubuhnya dengan kuat, tersentak dengan goncangan yang kuat dan kelibat Wan yang disangkanya mati sebentar tadi Kila kemudian tersedar dan bilamana ia tersedar memang Kila akhirnya sedar dari mimpinya sebentar tadi. Terkebil-kebil Kila melihat cikgu Rashid dan kawannya berada di hadapan mereka,

“Aku kat mana?” kata Kila. “Puteri ada kat Istana ni haa, tadi puteri tengah beradu maaf membangunkan tuan puteri” kata Wan membalas pertanyaan Kila. Bergema kelas dengan gurauan Wan sebentar tadi, Kila yang kini sedar sepenuhnya barulah mengerti apa yang dikatakan oleh Wan sebentar tadi yang ternyata kejadian tadi hanya mimpi semata-mata dan kalau dalam mimpinya pasti Kila akan memarahi Kila namun kali ini dibiarkan Wan berbuat sedemikian kerana kini dia sedar bahawa kawannya itu tidak bermaksud dengan apa yang dikatakannya. Sehingga pulang itu Kila terus digelar Puteri oleh Wan,yang peliknya Wan hanya menggelar Kila puteri dan bukan Puteri Sulu entah-entah Wan tahu apa mimpi Kila sebentar tadi. Kila hanya tersenyum dan tidak sabar untuk pulang kerumah dan menceritakan peristiwa itu kepada kedua orang tuanya.

Selasa, 5 April 2016

SIAPA BLOGGER TU? =_=





Nor Azzera Idzian Binti Abdul Wahab

19.01.1994

Hospital Lama Lahad Datu Sabah

Islam

Anak kedua dari 6 orang adik beradik

Sekolah Tadika Kemas Lahad Datu  (1999-2000)

Sekolah Rendah Kebangsaan St. Dominic Lahad Datu (2001-2006)

Sekolah Menengah Kebangsaan St.Dominic (2007-2009)

Sekolah Menengah Teknik Lahad Datu (2010-2011)

Sekolah Menengah Kebangsaan Sepagaya (2012-2013 )

Universiti Sains Malaysia (2014- Sekarang )

Isnin, 4 April 2016

BIOGRAFI PENULIS PILIHAN






Assalammualaikum w.b.t dan salam sejahtera kepada pembaca yang dikasihi sekalian dan diharapkan dalam rahmat Allah s.w.t hendaknya. Kalau jika sebelum ini pengkaji mencoretkan hasil nukilan puisi , maka kali ini pengkaji akan mencoretkan serba sedikit latar belakang serta pemikiran seorang penulis yang tidak asing lagi kewujudannya dalam dunia kesusasteraan di Malaysia. Azizi Hj Abdullah merupakan penulis yang dilahirkan di Bukit Meryam, Kota Kuala Muda, Kedah pada 4 April 1942. Beliau merupakan seorang pengarang profilik dalam penulisan cerpen dan novel. Sewaktu kerjaya beliau sebagai seorang penulis, beliau pernah menggunakan pelbagai nama pena atau samaran seperti Anita, Ibnu Abdullah al-Haj, Jamong, Qalam Adly, Shahrulmanjarishah, Susulawati dan Tukya dalam penulisannya namun lebih dikenali dengan nama sebenarnya.
Azizi Haji Abdullah menerima pendidikan awal di Sekolah Melayu Bukit Meryam hingga lulus darjah enam. Kemudian, beliau belajar di Madrasah Dairatul Maarif al-Wataniah, Kepala Batas, Seberang Perai mulai dari tahun 1955 hingga 1965. Walaupun jarak madrasah dengan rumahnya kira-kira 30 kilometer, namun itu tidak menghalang minat Azizi untuk belajar di sana sekalipun terpaksa mengayuh basikal sejauh 60 kilometer setiap hari. Pendidikan agama yang diterimanya melayakkan Azizi menjadi guru agama di Sekolah Kebangsaan Sungai Taka, Serdang, Kedah mulai 17 Oktober 1965 sehinggalah beliau bersara pada tahun 1997. Azizi mulai menulis pada tahun 1960-an, cerpennya yang pertama berjudul “Sisa” tersiar dalam Warta Mingguan pada tahun 1963 dan sejak itu beliau tidak menoleh ke belakang lagi dalam bidang penulisan, malah turut aktif menulis novel, kritikan sastera, skrip drama radio dan TV, dan rencana.  
Lantas sebagai seorang novelis, Azizi mulai terkenal setelah novelnya Senja Belum Berakhir memenangi Hadiah Karya Sastera pada tahun 1971 yang kemudiannya menyaksikan beliau seringkali memenangi hadiah tersebut dalam bahagian cerpen pula.  Tetapi kemuncak kepada pencapaiannya dalam bidang penulisan novel boleh dikatakan terpancar melalui novel Seorang Tua di Kaki Gunung (selepas ini ditulis sebagai ST dKG) pada tahun 1982.Novel terakhir karya beliau adalah novel setebal 299 muka bertajuk 'MANDALA DUNIA KE DUNIA' yang sempat ditulis sebelum beliau menghembuskan nafas terakhir ketika berusia 69 tahun pada tanggal 21 Ogos 2011 akibat serangan jantung di Hospital Pulau Pinang. Allahyarham telah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Jamiul Makmur di Kulim.

Sumber Rujukan:

Azizi Haji Abdullah, (1984). Seorang Tua di Kaki Gunung Tua. Kuala  
      Lumpur
Dewan Bahasa dan Pustaka.

Mohd Thani Ahmad, Sarah Sadon, Suhaimi Haji Muhammad, (1984).                  Wajah. Kuala Lumpur Dewan Bahasa dan Pustaka.

SINOPSIS SEORANG TUA DI KAKI GUNUNG



Novel Seorang Tua di Kaki Gunung mengisahkan persoalan jurang generasi antara golongan tua yang mempunyai sikap yang keras dalam mempertahankan pendiriannya iaitu pendirian tradisinya dan cuba dipertahankan hingga ke akhir hayatnya namun ternyata sukar kerana bertentangan dengan golongan muda yang mempunyai pendirian moden yang sukar pulanya diterima oleh golongan tua.. Melalui watak Tukya, Azizi cuba memperlihatkan sikap golongan tua yang teguh mempertahankan pendiriannya terhadap corak kehidupan tradisi, yang amat rapat dengan alam semula jadi di kaki Gunung Bongsu.
Konflik mulai timbul apabila Fikri Fatimah Farid  mulai mencaci kehidupan dan rumah Tukya di Gunung Bongsu itu. Bagi Tukya Fikri telah lupa akan asal usulnya menyebabkan dia berasa sedih kerana kehidupannya yang miskin membuatkan anak serta cucunya tidak minat untuk balik berkunjung ke Gunung Bongsu itu. Walaubagaimanapun berbeza dengan Leman, cucunya yang seorang ini dilihat lebih rapat dengan Tukya kerana dia merasakan bahawa Lamin mememiliki jiwa seperti Tukya yang gemar dengan kehidupan di Gunung .Namun malang tidak berbau apabila, Tukya yang membawa Lamin mencari manisan di kawasan Gunung Bongsu  telah disengat lebah manakala Lamin sempat melarikan diri. Habis seluruh badan Tukya disengat dengan lebah hingga bengkak. Semasa di hospital, Tukya lebih merasakan malu bila dikatakan dirinya telah tua kerana hakikat itu sukar diterima oleh Tukya, tambahan Fatimah dan Farid yang sering menyindir serta menghina kehidupan Gunung Bongsu dan keadaan rumahnya yang buruk. Maka dengan itu, bagi membuktikan kepada anak cucunya Tukya dengan nekad ingin membina sebuah rumah baru dengan sendirinya bagi mengganti rumah buruk yang sering mendapat cacian anak cucunya. Walaubagaimanapun sekali lagi malang tidak berbau, dengan perasaan yang amat sedih Tukya tetap ingin menebang cengal batu itu, lantas ketika hendak tersembam cengal batu itu kaki Tukya telah terlekat pada belitan akar simpanan air menyebabkan pahanya tertindih. Kesakitan yang dirasakan Tukya amat pedih sehinggakan Tukya menyuruh isterinya untuk menggergaji pahanya namun tidak berjaya yang akhirnya menyaksikan kematian Tukya yang penuh tragis dan mengerikan bersama impiannya yang belum tercapai.
Seorang Tua Novel ‘Seorang Tua di Kaki Gunung’ merupakan karya terkenal beliau suatu ketika dulu. Mutu novel ini dijanjikan amat menarik sehinggakan ia pernah menjadi naskhah wajib pelajar tingkatan lima yang mahu mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Karya beliau sentiasa hidup di hati kita dan merentasi masa daripada satu generasi ke satu generasi.. Nilai novel ‘Seorang Tua di Kaki Gunung’ ini telah dianggap sebagai salah satu novel Malaysia Pilihan Abad ke-20 yang akhirnya ini telah diterjemahkan ke dalam bahasa Bahasa Inggeris oleh Thaiyibah Sulaiman dengan judul The Old Man of the Foot of the Mountion serta turut diterjemahkan ke Bahasa Jepun oleh Dr. Fujimorai dan Tahiyibah Sulaiman.


Sumber Rujukan:


Azizi Haji Abdullah, (1984). Seorang Tua di Kaki Gunung Tua. Kuala
      Lumpur
: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Mohd Yusof Hasan, (2009). Pemikiran Global Sasterawan Negara Shahnon
       Ahmad. Perak: Universiti Sains Malaysia
.

Sahlan Mohd Saman, (1984). Ulasan Seorang Tua di Kaki Gunung. Kuala
       Lumpur Penerbitan Tratra
.

Tengku Intan Marlina Tengku Mohd Ali, (2006). Pertentangan Nilai
        dan Psikologi 
Orang Tua Dalam Seorang Tua di Kaki Gunung. Jurnal
   Pengajian Melayu
.17. Dimuat turun www.myjurnal.my/public/article-download.php?id=72377

SEBUAH PEMIKIRAN UNTUK DIRUNGKAI






Pemikiran merupakan satu kegiatan dari proses akal atau otak sebagai salah satu organ penting bagi diri seseorang manusia. Organ ini merupakan ciptaan pertama dan utama insan oleh Tuhan untuk menyelesaikan masalah dalam kehidupannya. Lantaran bagi menghasilkan satu karya yang menarik maka seorang pengarang memerlukan instinct dan persepsi yang tersendiri. Melalui instinct dan persepsi inilah yang akan membawa pengarang untuk menulis karyanya yang mempunyai identitinya yang tersendiri. W.J.S Poerwadarminta berpendapat bahawa pemikiran itu biasanya disamakan dengan tema (Yusof Hasan, 2009) :
Tema ialah fikiran; dasar cerita yang dipercakapkan, dipakai sebagai pengarang.
Justeru jika kita menelusuri pemikiran Azizi Haji Abdullah menerusi novel Seorang Tua di Kaki Gunung secara keseluruhannya mengetengahkan tentang generasi tua dan muda; yang agak konservatif dimana amat sukar untuk menerima pandangan golongan muda serta sebaliknya begitu juga dilihat menerusi orang muda yang sering melontarkan saranan atau pandangan tenpa meneliti atau memahami kedudukan serta emosi golongan tua. Lantaran disebabkan itu konflik mulai timbul dengan adanya perbezaan pendapat yang wujud di tengah-tengah di antara kedua dua golongan ini.
Walaubagaimanapun, pemikiran yang ingin ditonjolkan di dalam novel karya beliau ini dilihat lebih berfokuskan maruah diri terutama si golongan tua yang merasakan maruahnya telah tercabar. Tukya sebagai watak utama amat merasakan maruahnya amat rendah dan semakin perit lebih lebih ia disebabkan sendiri oleh anaknya, cucu-cucunya serta orang kampung. Bagi Tukya cabaran-cabaran itu merupakan satu penghinaan terbuka ke atas dirinya dan dia harus mempertahankan maruah itu walaupun dengan tuntunan pengorbanan yang akhirnya memakan dirinya sendiri yang dapat kita lihat apabila Tukya membuat wawasannya tersendiri demi mempertahankan maruah diri serta kekuatan dirinya. Antaranya Tukya pernah berkata;
..Dan kemudian, akan dibuktikan di satu hari nanti bahawa rumah buruk itu akan digantikan dengan kayu-kayu kukuh, banir dan balak, tempeneh dan teras. Akan dibuktikan pada Fikri bahawa dalam usia tuanya dia masih mampu untuk menegakkan sebuah rumah yang kukuh di kaki gunung itu. (Azizi Haji Abdullah, 1984)
Bahkan jika kita teliti perkataan penting yang ada dalam penulisan Azizi ini lebih tertumpu kepada ‘maruah’. Hal ini jelas menunjukkan bahawa pemikiran Azizi Haji Abdullah yang lebih berfokuskan kepada soal maruah.

Di samping itu, pemikiran yang ingin ditonjolkan pengarang menerusi novel yang dipilih ini ialah satu pemikiran yang membincangkan mengenai nilai tradisi lama dengan moden yang beliau anggap amat penting kerana soal ini ternyata mengupas isu isu yang kerap berlaku disebabkan modeniti yang berlaku telah mengatasi konsep dan nilai tradisional satu tika dulu. Penulis ternyata merasakan kesan terhadap modeniti yang berlaku sehinggakan pemikiran itu jelas tercatat dalam novel beliau.
Akhir sekali pemikiran yang turut ditonjolkan oleh Azizi Haji Abdullah dalam novel ini yang dapat pengkaji lihat ialah pemikiran kedesaan. Pemikiran kedesaan ini dilihat lebih memfokuskan mengenai soal kehidupan manusia di desa atau di luar bandar. Bagi pengkaji Azizi Haji Abdullah dilihat berjaya menggarap dan menghayati kehidupan desa yang penuh dengan kemiskinan dan perjuangan untuk terus hidup. Penulis ternyata memiliki keistimewaan yang dapat mengangkat mutu novel ini ke satu tahap yang lebih baik apabila beliau memperihalkan kehidupan di desa yang dialami oleh Tukya dengan mengambarkannya memiliki pengetahuan memanggil pelanduk, malahan beliau turut mendkripsikan persekitaran hutan dengan nama-nama seperti genuak, seruntum, pelupuh dan sebagainya. Novel ini jelas membentangkan latar desa dan hutan yang tenteram, sunyi serta indah dan harmoni yang dapat kita lihat dengan petikan:

Dalam sejarah hidup mereka, belum pernah ada harimau membaham atau gajah turun minyak atau babi mengamuk. Bukan tidak ada harimau, bukan tidak ada gajah..tetapi semua itu bukanlah yang mereka cari dan mereka pula tidak pernah dicari..merasa cukup aman dan tidak ada sejemput pun kebimbangan bila ke gunung, ke huma atau ke rimba (Azizi Hj Abdullah, 1984).



SENSITIVITI DAN KREATIVITI PENULIS


        Sehubungan dengan itu, jika kita lihat sensitiviti penulis Azizi Haji Abdullah ini pula, pengkaji merasakan bahawa beliau amat sensitif dengan persoalan yang menjeremus kepada soal kekeluargaan, kemasyarakatan, kedesaan yang dilihat amat indah digarap dalam setiap penulisan beliau. Beliau lebih cenderung untuk menggunakan tema tema ini untuk dijadikan sebagai satu medium perantara untuk menyuarakan perubahan dalam masyarakat  yang beliau anggap  turut menjalar ke peringkat akar umbi hanya disebabkan oleh keluarga. Sebagai anggota masyarakat, Azizi Haji Abdullah turut merasai secara langsung perubahan yang berlaku terhadap masyarakatnya. Lantas perubahan tersebut telah dimanipulasi menggunakan kelebihan olahan kreativitinya lalu dijelmakan sama ada dalam bentuk puisi, esei kritikan, cerpen, drama mahupun novel.
Hal ini amat bertepatan dengan pendapat Teeuw bahawa karya sastera merupakan cerminan dan ekspresi yang mengungkapkan perasaan masyarakat. Sebagai sasterawan prolifik, Azizi boleh dikatakan amat berjaya mempamerkan corak perubahan masyarakatnya mengikut peredaran zaman menerusi karya-karya kreatifnya lantaran beliau berkarya selama lima dekad, Jelas satu jangka  masa  yang  cukup  panjang itu  bukan sahaja membolehkan beliau menjadi saksi perubahan zaman malah mematangkan beliau sebagai seorang pengarang kerana setiap dekad mempunyai   corak   peristiwa   dan   cerita   tersendiri.   Secara   tidak   langsung,   Azizi   sebenarnya   telah memanifestasikan perubahan demi perubahan yang berlaku dalam masyarakat menerusi karya kreatifnya dari semasa ke semasa.  Kepekaan Azizi terhadap perubahan inilah menyebabkan beliau tidak pernah jemu dalam mengetengahkan isu kemasyarakatan dalam berkarya bagi mengungkap persoalan manusia dan kemanusiaan.   Hakikat   ini   turut   ditegaskan   oleh   Abdullah   Zawawi   Mohd   Hairani bahawa kecenderungan Azizi mengetengahkan permasalahan masyarakatnya dari pelbagai sudut kehidupan sering terpancar dari awal secara berulang-ulang hinggga ke akhir usia pengkaryaannya. 
Sejajar dengan itu jika kita menelusuri pemikiran penulis Azizi Haji Abdullah ini dapat dilihat beliau merupakan seorang penulis yang berjiwa sensitif dan acap kali mengambil latar tradisi yang amat sinonim dengan masyarakat Melayu seperti desa, sawah bendang, hutan belantara, sungai dan laut maka tidak hairanlah hasil nukilan, sensitiviti dan pemikiran yang ditonjolkan beliau amat dekat di hati masyarakat. Sebaliknya beliau dilihat amat tidak gemar dengan karya-karya yang menjeremus kepada eksperimental kerana baginya ia merupakan sebuah karya yang ‘meluat dan mengarut’ dan baginya seorang penulis seharusnya menyuarakan soal rakyat berbanding hal yang lainnya. Walaupun perjuangan rakyat sesuatu yang dianggap tipikal pada masa itu, namun jika dilihat dalam beberapa tahun kemudian hinggalah  sekarang, mencari sastera yang menyuarakan nadi rakyat merupakan satu perkara yang amat sukar berbeza dengan suatu ketika dahulu.

Sumber Rujukan
Mohd Yusof Hasan, (2009). Pemikiran Global Sasterawan Negara Shahnon
        Ahmad. 
Perak: Universiti Sains Malaysia.

Mohd Zainin bin Kosnon. Keluarga dan Perubahan Masysrakat: Suatu Wacana Kritis      
       Berdasarkan Karya Azizi Haji Abdullah. Kertas Cadangan Penyelidikan Doktor Falsafah        Persuratan Melayu. Dimuat turun 
http://documents.tips/documents/01pengenalan.html 

Khamis, 31 Mac 2016

WAKTU ITU






Waktunya tiba lagi
Saat untuk melangkah pergi
Membawa pesan dan amanatmu
Agar tidak tersesat jauh
Namun kadang tertunduk malu
Lantaran tingkah bukan begitu
Namun sering pesanmu untukku
Belajarlah anakku
Ini penentu hidupmu
Lantas senyuman terukir dibibirmu
Membuat hati sebak dan pilu
Andai dapat diputar waktu
Kan ku tangisi pemergianku
Kan ku tepis segala egoku
Memeluk erat hangat tubuhmu.